TUGASAN BLOG SZW502
Pembangunan Insan Melalui Pemuliharaan Alam Sekitar
Surita Hartini Bt Mat Hassan
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
(Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik : P-SM 0019/12
Dunia pada masa kini seringkali dikejutkan dengan bencana alam yang dahsyat dan menakutkan. Sebagai contoh, baru-baru ini kita dikejutkan dengan
kejadian banjir kilat atau banjir lumpur di Lembah Bertam, Cameron Highlands,
Pahang. Kejadian tersebut telah meragut empat nyawa dan merosakkan banyak harta
benda seperti rumah, sekolah, kedai dan sebagainya. Begitu juga dengan kejadian
tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ulu Klang Selangor pada Disember 2008,
tanah runtuh di Highlands Tower pada tahun 1993 dan lain-lain telah meragut
banyak nyawa dan memusnahkan harta benda. Selain itu, kita juga turut dilanda
jerebu yang memaksa kita menghirup udara kotor dan menyebabkan pelbagai penyakit.
Namun, terfikirkah kita kenapa semua ini berlaku? Adakah ini petanda dunia
sudah berada dipenghujung usia? Atau adakah ini balasan daripada Allah SWT ke
atas hambanya? Walau apapun jawapan dan persoalannya, kita sebagai makhluk
Allah SWT seharusnya sedar bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada penyebab
dan hikmah disebaliknya.
Berdasarkan tragedi banjir kilat di Lembah Bertam, Cameron Highlands,
Pahang boleh dikatakan sebagai petunjuk dan peringatan daripada Allah SWT
kepada manusia. Hal ini kerana, sikap masyarakat setempat yang terlalu rakus
meraih keuntungan dan mengejar kemewahan duniawi tanpa memikirkan kesan buruk
daripada perbuatan tersebut. Kerakusan pekebun menarah lereng-lereng bukit secara
haram untuk dijadikan tempat tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan secara
komersil, tanpa menyedari perbuatan tersebut telah merosakkan ekosistem alam
semulajadi. Kerancakkan aktiviti pertanian seperti inilah menjadi punca berlakunya
bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Selain itu, penerokaan hutan yang
berleluasa secara haram juga turut mengundang bahaya kerana mengakibatkan
kecetekkan air dalam empangan. Ada direkodkan hampir separuh daripada tanah
pertanian di Cameron Highlands dilakukan secara haram.
Namun, perkara yang ingin dibincangkan dalam penulisan ini adalah
berkaitan dengan tanggungjawab dan sikap manusia terhadap alam semulajadi atau
alam sekitar. Hal ini kerana, manusia pada masa kini dilihat tidak begitu
menjaga dan memelihara alam sekitar daripada sebarang ancaman, kemusnahan dan
kerosakan. Mereka sanggup merosakkan serta mencemarkan alam sekitar semata-mata
untuk mengejar kekayaan tanpa memikirkan nasib yang akan diterima oleh mereka
sendiri. Misalnya kegiatan pembangunan yang berleluasa dan tidak terkawal juga
merupakan contoh kerakusan dan ketamakkan manusia dalam mengejar harta dan
kekayaan tanpa memikirkan kesan perbuatan tersebut. Sikap seperti inilah harus
dibendung dalam jiwa masyarakat terutamanya masyarakat Islam.
Alam sekitar merupakan makhluk Allah SWT yang dicipta
sebagai kemudahan dan juga pelengkap kepada manusia dalam meneruskan kehidupan.
Diciptakan langit dan bumi sebagai hamparan, bukit-bukau, hutan rimba dan
sungai sebagai sumber makanan dan juga pendapatan. Namun, dewasa ini manusia
semakin lupa akan nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada mereka. Manusia sanggup merosakkan kehidupan alam semulajadi yang begitu bermakna. Firman Allah
SWT yang bermaksud:
“Dan tuntutlah dengan harta
kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari
akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu)
dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah
berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan
janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak
suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan” (al-Qasas, 28:77).
Berdasarkan ayat ke-77
dari surah al-Qasas tersebut jelas menunjukkan Allah SWT tidak menyukai orang
yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Begitu juga Firman Allah SWT
dalam surah al-Baqarah ayat ke-205 yang bermaksud:
“Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan
kerosakkan padanya, dan merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternakan, dan
Allah SWT tidak menyukai kebinasaan”(al-Baqarah, 2: 205).
Berdasarkan kedua-dua
firman Allah SWT ini, jelas membuktikan manusia memegang amanah yang cukup
besar dalam mentadbir dan mengurus serta memelihara alam semujadi daripada
sebarang bentuk kemusnahan. Manusia juga perlu dididik serta diterapkan dengan
perkara-perkara yang boleh menyedarkan dan memberi kefahaman kepada manusia
terhadap kepentingan menjaga dan memelihara sumber alam semujadi ini. Hal ini
kerana, alam semulajadi merupakan sumber utama kepada manusia dalam meneruskan
kehidupan sebagai hamba Allah SWT yang sentiasa diredhai-Nya. Seharusnya
manusia dibentuk agar menjadi khalifah yang bertanggungjawab dan menjaga
hubungannya dengan alam semulajadi sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT. Oleh
itu, manusia dituntut melakukan pemeliharaan terhadap alam sekitar. Nabi
Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya dunia ini cantik, subur menghijau dan sesungguhnya Allah
SWT menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat
padanya” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi).
Hadis ini menjelaskan
kepada kita bahawa setiap yang hidup di dunia ini termasuklah tumbuh-tumbuhan
memberi manfaat kepada manusia dan saling berkait antara satu sama lain.
Manusia adalah pengurus ke atas sumber-sumber tersebut. Oleh itu sikap atau
akhlak manusia haruslah dididik agar dapat memakmurkan alam semulajadi.
Dalam membentuk insan
yang bertanggungjawab terhadap keseimbangan ekosistem alam semulajadi
seharusnya bermula daripada hati. Hati manusia dipenuhi dengan sifat mahmudah
dan juga mazmummah. Kedua-dua sifat ini wujud dalam jiwa manusia, namun
bagaimana ianya diuruskan itulah yang menjadi persoalan. Hati seharusnya
dididik dengan perkara-perkara yang baik seperti bertanggungjawab, tidak
mementingkan diri sendiri, berkejasama, saling menghormati sesama makhluk dan
sebagainya. Namun, bagaimanakah caranya? Islam telah menggariskan beberapa
panduan dalam mendidik jiwa. Antaranya adalah, pertama, mewujudkan rasa syukur
ke atas segala nikmat yang Allah berikan kepada hambanya; kedua, melahirkan
rasa cinta dan sayang terhadap khazanah alam; ketiga, menerapkan nilai-nilai
murni dalam jiwa terhadap alam sekitar.
Mewujudkan Rasa
Bersyukur
Mensyukuri nikmat Allah
SWT oleh hambanya adalah sesuatu yang dituntut dan diharuskan. Sebagaimana
firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; sesungguhnya jika
kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu
mengingkari (nikmat-Ku), Maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (Surah
Ibrahim, 14:7).
Dan firman-Nya lagi
yang bermaksud,
“Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan
kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan
daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. Dan kami
jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya
beberapa mata air, Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang
dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?” (Surah
Yaasin, 36: 33-35).
Kedua-dua ayat tersebut
jelas menunjukkan manusia seharusnya bersyukur ke atas setiap pemberian dan
nikmat yang diterima. Mereka yang mensyukuri nikmat Allah SWT akan mendapat
ganjaran di dunia dan juga di akhirat. Dalam mensyukuri nikmat Allah SWT
terhadap alam semulajadi, manusia seharusnya melihat kepada kepentingan sumber
alam terhadap kehidupan manusia. Misalnya sumber air yang bersih diperlukan
untuk membersihkan diri seperti mandi, berwuduk, istinjak dan sebagainya agar
dapat menjaga kesempurnaan ibadah. Tanpa air, kehidupan manusia tidak sempurna
dan menyukarkan aktiviti harian. Oleh itu, adalah menjadi kewajaran kepada
semua manusia menjaga sumber alam supaya tidak dicemari segala kekotoran yang
disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri.
Dengan adanya rasa
bersyukur dan berterima kasih terhadap sumber alam, pastinya akan melahirkan
masyarakat yang sentiasa prihatin terhadap segala keperluan di muka bumi ini.
Pastinya akan lahir sikap bertanggungjawab dan bekerjasama sesama manusia untuk
menjaga dan memelihara alam sekitar. Jika keadaan ini berlaku, kejadian atau
bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir kilat dapat dielakkan. Namun, kita
harus ingat setiap yang berlaku adalah ketentuan-Nya.
Melahirkan Rasa Cinta
Terhadap Alam Sekitar
Rasa cinta kepada
sesuatu adalah lumrah semulajadi manusia iaitu menyayangi dan menghargai sesuatu
yang dimiliki bukan hanya terhadap manusia atau harta benda, malah terhadap
alam semulajadi. Dalam konteks mencintai alam sekitar, manusia seharusnya
menyayangi setiap sumber alam seperti air, udara, tumbuh-tumbuhan dan
sebagainya. Apabila wujud rasa kasih dan sayang terhadap alam sekitar, pasti
akan dipelihara setiap sumber alam tersebut. Misalnya, tidak melakukan
penebangan hutan secara haram dan pembakaran hutan secara berleluasa kerana takut
mencemarkan udara. Udara yang sihat dan menyegarkan akan melahirkan kehidupan
yang aman dan harmoni. Namun, tanpa rasa sayang kepada sumber alam, udara dan
air dicemari, pasti mengundang bahaya kepada masyarakat dan menyebabkan pelbagai
punca penyakit. Keadaan ini boleh mengancam kehidupan makhluk bumi terutamanya
manusia. Ini bersesuaian dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah
r.a yang bermaksud:
“Demi diriku yang ada di tangan-Nya, kalian tidak akan masuk syurga sehingga
kalian beriman dan kalian tidak beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah
jika kutunjukkan kepada kalian jika kalian mengerjakannya, maka kalian saling mencintai?
Sebarkan salam di antara kalian” (Soheh Muslim).
Oleh itu, dengan
tertanamnya rasa kasih dan sayang terhadap sumber alam, kemusnahan dan
kerosakkan dapat dikurangkan. Manusia juga akan hidup dalam keadaan sihat dan
tenteram dan tidak mudah terpengaruh dengan kemewahan duniawi. Fenomena ini
akan melahirkan kesedaran kepada setiap individu dan juga masyarakat tentang
perlunya memelihara dan memulihara alam sekitar. Setiap perkara yang dilakukan
terhadap alam sekitar akan menjadi lebih berhemah serta dapat memberi manfaat
kepada semua hidupan di air ataupun darat. Keadaan ini pastinya akan mewujudkan
satu ekosistem yang seimbang dan saling melengkapi.
Menerapkan Nilai-Nilai
Murni dalam Jiwa
Nilai-nilai murni
bermaksud sifat-sifat yang baik seperti menghomati sesama makhluk, bekerjasama,
tidak mementingkan diri sendiri, merendah diri dan sebagainya. Dalam konteks
penerapan nilai murni terhadap alam sekitar, setiap masyarakat perlu
bertanggungjawab dan melaksanakan amanah dalam memelihara dan memulihara alam
semulajadi. Kesedaran terhadap tanggunggjawab memelihara serta memakmurkan alam
semesta perlu diterapkan dalam jiwa setiap manusia. Firman Allah SWT yang
bermaksud:
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah SWT
menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya” (Surah al-A’raaf, 7:56).
Berdasarkan ayat di
atas, jelas menunjukkan manusia dilarang melakukan kerosakan terhadap alam
semesta, kerana semua yang disediakan adalah untuk kemudahan semua makhluk.
Seharusnya kita memakmurkan sumber bumi, bukan merosakkan atau memusnahkannya.
Manusia seharusnya sedar betapa pentingnya alam semulajadi kepada manusia.
Misalnya udara segar yang disediakan oleh Allah SWT kepada makhluknya supaya
dapat hidup dengan harmoni. Keharmonian antara manusia dengan alam semulajadi
menjamin kehidupan manusia dan alam yang lebih berkualiti.
Dalam pada itu, manusia
juga seharusnya peka atau prihatin terhadap isu-isu yang berkaitan alam sekitar.
Keprihatinan terhadap persoalan yang berkaitan alam sekeliling menjadi
tanggungjawab setiap insan yang bergelar manusia agar dapat menjamin
kesejahteraan hidup. Misalnya, tidak melakukan perkara-perkara yang boleh
merosakkan kehidupan alam sekitar seperti tidak membuang sampah ke dalam
sungai, tidak melakukan pembakaran secara terbuka dan sebagainya. Sekiranya
berlaku sesuatu yang boleh memusnahkan alam semesta setiap insan seharusnya
berusaha menangani dan menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku.
Misalnya, jerebu yang teruk dan boleh membawa maut serta mengganggu ekosistem
alam. Kerajaan dan pihak lain seharusnya bertindak dengan penuh ketegasan
kepada mereka yang melakukan pembakaran hutan dan menyediakan alternatif lain untuk tidak membakar hutan secara
terbuka.
Kesimpulannya,
memelihara dan memulihara alam sekitar adalah tanggungjawab setiap insan.
Dengan wujudnya kesedaran terhadap pentingnya alam semulajadi kepada setiap
insan, maka pastinya keharmonian dan keseimbangan ekosistem terpelihara. Oleh
itu, setiap insan bermula daripada peringkat kanak-kanak seharusnya dididik
dengan rasa tanggung jawab, cinta, kasih dan sayang terhadap alam sekitar agar
wujud rasa menghargai betapa pentingnya alam semulajadi dalam kehidupan setiap
insan.