TUGASAN BLOG SIW505
Kesan Sedekah
Terhadap Pembangunan Jiwa Insan
Surita Hartini Bt
Mat Hassan
Calon Sarjana Sains
Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik : P-SM
0019/12
Pembentukkan jiwa yang murni
dalam diri seseorang muslim adalah menjadi satu kewajipan dalam usaha
meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT. Jiwa yang murni sentiasa
mengingati Allah SWT dan ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara. Kemurnian dan
keikhlasan hati ini dapat dibentuk dengan melaksanakan ibadah-ibadah wajib dan
sunat sebagaimana yang dituntut dan digalakkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.
Allah SWT ada berfirman yang bermaksud :
“Dan
(ingatlah) Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka
memperhamba diri (beribadat) kepada-Ku.” (Al-Zariyat, 51:56)
Ini jelas
menunjukkan setiap manusia (Islam) wajib melaksanakan tanggungjawab mereka
terhadap Allah SWT dengan menunaikan ibadah-ibadah wajib seperti solat, puasa,
zakat dan sebagainya bagi membuktikan ketaatan terhadap suruhan Allah SWT. Di
samping itu juga, individu muslim adalah digalakkan menunaikan ibadah-ibadah
sunat bagi menampung kekurangan dalam melakukan ibadah wajib serta dapat
menghapuskan dosa-dosa kecil jika dilakukan dengan hati yang ikhlas seperti
amalan bersedekah.
Sedekah adalah pemberian semasa hidup secara sukarela dan
ikhlas kepada individu atau masyarakat tanpa mengharapkan balasan, semata-mata
untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mendapatkan redha-Nya (Muhammad
Muhyiddin : 2009). Sedekah boleh dilakukan dengan memberikan sesuatu dalam
bentuk harta atau bukan harta. Sedekah dalam bentuk bukan harta adalah yang
paling senang dilakukan tetapi perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas seperti
menolong orang melintas jalan, membantu orang yang sedang bergotong royong,
membantu ibubapa melakukan kerja rumah, memberikan senyuman, melarang orang
dari melakukan kemungkaran dan sebagainya.
Bersedekah dengan harta seperti menyedekahkan wang
ringgit, tanah, rumah dan sebagainya kepada golongan miskin, anak yatim, ibu
tunggal dan lain-lain golongan yang memerlukan bantuan dan pertolongan dengan
hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Hukum bagi sedekah terbahagi
kepada dua iaitu wajib dan sunat (Ghafarullahhuddin Hj Din : 2004).
Sedekah wajib adalah sedekah yang diwajibkan kepada umat
Islam berdasarkan syarat-syarat tertentu seperti zakat dan kafarah. Allah SWT
mewajibkan kepada mereka yang mempunyai harta yang berlebihan mengeluarkan
zakat ke atas harta tersebut mengikut nisab yang telah ditetapkan termasuklah
zakat perniagaan, zakat harta, zakat pendapatan dan sebagainya. Kafarah pula
merupakan denda yang diwajibkan ke atas golongan tertentu, kerana melakukan
kesalahan misalnya mereka yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan tanpa
sebab dikehendaki membayar fidyah berdasarkan syarat-syarat yang telah
ditetapkan.
Amalan sedekah yang disunatkan kepada umat Islam terdiri
dari dua kategori iaitu biasa dan sedekah jariah. Amalan kebiasaan, umat Islam
bersedekah dengan memberi derma, sumbangan, hadiah dan sebagainya. Manakala
bagi sedekah jariah adalah dirujuk kepada amalan wakaf. Menurut istilah syarak,
wakaf adalah menahan suatu harta yang boleh dimanfaatkan dengan syarat kekal
zatnya, dan membelanjakan kemanfaatannya kepada jalan Allah SWT dengan tujuan
mendekatkan diri kepada Allah SWT (Ghafarullahhuddin Hj Din : 2004). Amalan
wakaf disebut sebagai sedekah jariah kerana pahala bagi mereka yang mewakafkan
harta akan mengalir terus menerus selagi harta yang diwakafkan itu
dimanfaatkan.
Selain itu, terdapat beberapa istilah lain yang boleh
dikategorikan sebagai sedekah seperti infaq, hibah, nafkah, Qard Al-Hassan dan
sebagainya. Walaupun amalan dan pelaksanaan bagi semua bentuk sedekah yang
telah disebutkan berbeza, namun tujuannya tetap sama iaitu mendekatkan diri
kepada Allah SWT dan ikhlas membantu golongan yang memerlukan.
Jika dilihat dari sudut tasawur Islam, sedekah adalah
amalan sunat yang digalakkan kepada umat Islam dan dijanjikan pahala yang
berlipat ganda jika dilaksanakan dengan hati yang benar-benar ikhlas bertujuan
mendekatkan diri kepada Allah SWT. Di samping itu juga, mereka yang bersedekah
akan mendapat lebih banyak manfaat dan sentiasa mendapat perlindungan dari
Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang
dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”.
( Al-Baqarah, 2:261 )
dan
“Jika kamu menampakkan
sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan
kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik
bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu;
dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Al-Baqarah 2:271)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud :
“………….sedekah memadam kesilapan
seperti air memadam api,……”
(Hadis riwayat Al-Tirmizi dan Ahmad)
(Hadis riwayat Al-Tirmizi dan Ahmad)
Berdasarkan firman Allah SWT dan sabda Nabi SAW di atas,
jelas menunjukkan dengan bersedekah dapat menghapuskan dosa iaitu dapat
menyucikan diri dari dosa dan sifat-sifat mazmumah. Mereka yang besedekah sentiasa
dilindungi oleh Allah SWT dari melakukan segala bentuk kemungkaran dan
dijauhkan dari malapetaka serta bencana alam.
Menurut Muhammad Muhyiddin (2009), terdapat satu kisah mengenai
seorang ustaz yang suka bersedekah. Dalam perjalanan menuju ke sebuah bandar
untuk mengajar agama, kereta ustaz tersebut dilanggar tetapi tidak mengalami
sebarang kerosakan, sebaliknya kereta yang melanggarnya tadi mengalami
kerosakan yang teruk. Pemandu kereta tersebut kehairanan lalu bertanya kepada
ustaz tersebut kenapa keretanya tidak rosak. Ustaz tersebut menjawab mungkin
kerana beliau telah bersedekah pada pagi tadi. Ini membuktikan dengan
bersedekah terselamat dari bencana.
Selain itu, mereka yang mencintai amalan bersedekah akan
dilimpahkan rezeki seluas-luasnya, disembuhkan dari penyakit dan dipanjangkan
umurnya. Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW
bersabda yang maksudnya:
“Sedekah tidak
mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya
melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah
mengangkatnya.” (Riwayat Muslim, ad-Darimi dan
Ahmad)
Artikel bertajuk “Kekayaan
yang berkat” (Amira, 2011), memperkatakan tentang harta yang dimiliki oleh
seseorang seharusnya dibelanjakan pada jalan Allah SWT untuk mendapat
keberkatan-Nya. Beliau juga turut mencadangkan agar harta-harta tersebut
disedekahkan kepada anak-anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan sebagainya
dengan niat yang tulus dan ikhlas untuk memberi dan membantu bukan untuk
mendapat nama atau menunjuk-nunjuk (riak / sombong).
Epistemologi Islam bagi amalan bersedekah adalah
berasaskan ilmu Tauhid iaitu meng-Esakan Allah SWT dengan melakukan kebaikan
(sedekah, tolong menolong) dan meninggalkan segala larangan (riak, sombong)
kerana Allah SWT sebagai tanda keimanan dan ketaatan kepada Yang Maha Pencipta.
Sedekah juga memperlihatkan ciri-ciri ketakwaan dalam hubungan manusia dengan
Allah dan keikhlasan hubungan sesama manusia untuk memberi pertolongan bagi
melahirkan rasa kasih dan sayang sesama manusia. Kehebatan bersedekah
membolehkan manusia sesama manusia serta makhluk ciptaan-Nya yang lain
berkongsi menikmati segala kemewahan dan kesenangan duniawi untuk mencapai
kebahagiaan di akhirat kelak. Ia juga mendidik masyarakat Islam sentiasa
bersyukur atas segala pemberian-Nya dan sentiasa memikirkan kehidupan orang
lain yang lebih memerlukan. Namun begitu, kebergantungan
terhadap manusia hanyalah bersifat sementara. Penerima sedekah seharusnya
berusaha mencari rezeki dengan tujuan beribadah kepada Allah SWT tanpa
mengharapkan belas ihsan orang lain dan percaya semua rezeki datang daripada
Allah SWT.
Kesimpulanya, umat Islam adalah digalakkan untuk menginfaqkan
atau sedekahkan lebihan atau sebahagian dari harta yang dimiliki ikhlas kerana
Allah SWT. Bersedekah juga sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT atas segala
pemberian-Nya dan dengan redha Allah SWT sedekah dapat membersihkan harta yang
dimiliki serta menyucikan jiwa dari segala dosa. Seterusnya, dengan jiwa yang
murni dan suci, akan lahir seorang muslim yang bertakwa dan beriman kepada
Allah SWT. Oleh itu, sebagai hamba yang menginginkan kebahagiaan didunia dan
akhirat seharusnya menjadikan amalan sedekah adalah satu kewajipan.
Rujukan
Amira (2011), “Kekayaan
Yang Berkat”, diakses dari http://www.iluvislam.com/fotografi/lensa-hati/2209-kekayaan-yang-berkat.html, pada 3 November 2012.
Ghafarullahuddin b. Hj Din
(2004), “Al-Sadaqah dalam Pembangunan Sosio-Ekonomi Ummah : Kajian Terhadap
Konsep, Potensi dan Perlaksanaan”, Tesis, tidak diterbitkan.
Muhammad Muhyidin (2009), “Ajaibnya
Sedekah : Semakin Bersedekah Semakin Kaya”, Selangor : PTS Publications &
Distributors Sdn. Bhd.
Norhuriyatina Salleh
(2006), “Kejujuran Dalam Bersedekah”, diakses dari http://www.yadim.com.my/Sosial/SosialFull.asp?Id=453, pada 5 November 2012.
No comments:
Post a Comment