Showing posts with label Tugasan SZW 502 (Pengurusan Aset). Show all posts
Showing posts with label Tugasan SZW 502 (Pengurusan Aset). Show all posts

Wednesday, 6 November 2013

Pembangunan Insan Melalui Pemeliharaan Alam Sekitar




TUGASAN  BLOG SZW502

Pembangunan Insan Melalui Pemuliharaan Alam Sekitar
Surita Hartini Bt Mat Hassan
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik : P-SM 0019/12


Dunia pada masa kini seringkali dikejutkan dengan bencana alam yang dahsyat dan menakutkan. Sebagai contoh, baru-baru ini kita dikejutkan dengan kejadian banjir kilat atau banjir lumpur di Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pahang. Kejadian tersebut telah meragut empat nyawa dan merosakkan banyak harta benda seperti rumah, sekolah, kedai dan sebagainya. Begitu juga dengan kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ulu Klang Selangor pada Disember 2008, tanah runtuh di Highlands Tower pada tahun 1993 dan lain-lain telah meragut banyak nyawa dan memusnahkan harta benda. Selain itu, kita juga turut dilanda jerebu yang memaksa kita menghirup udara kotor dan menyebabkan pelbagai penyakit. Namun, terfikirkah kita kenapa semua ini berlaku? Adakah ini petanda dunia sudah berada dipenghujung usia? Atau adakah ini balasan daripada Allah SWT ke atas hambanya? Walau apapun jawapan dan persoalannya, kita sebagai makhluk Allah SWT seharusnya sedar bahawa setiap apa yang berlaku pasti ada penyebab dan hikmah disebaliknya.

Berdasarkan tragedi banjir kilat di Lembah Bertam, Cameron Highlands, Pahang boleh dikatakan sebagai petunjuk dan peringatan daripada Allah SWT kepada manusia. Hal ini kerana, sikap masyarakat setempat yang terlalu rakus meraih keuntungan dan mengejar kemewahan duniawi tanpa memikirkan kesan buruk daripada perbuatan tersebut. Kerakusan pekebun menarah lereng-lereng bukit secara haram untuk dijadikan tempat tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan secara komersil, tanpa menyedari perbuatan tersebut telah merosakkan ekosistem alam semulajadi. Kerancakkan aktiviti pertanian seperti inilah menjadi punca berlakunya bencana alam seperti banjir dan tanah runtuh. Selain itu, penerokaan hutan yang berleluasa secara haram juga turut mengundang bahaya kerana mengakibatkan kecetekkan air dalam empangan. Ada direkodkan hampir separuh daripada tanah pertanian di Cameron Highlands dilakukan secara haram.

Namun, perkara yang ingin dibincangkan dalam penulisan ini adalah berkaitan dengan tanggungjawab dan sikap manusia terhadap alam semulajadi atau alam sekitar. Hal ini kerana, manusia pada masa kini dilihat tidak begitu menjaga dan memelihara alam sekitar daripada sebarang ancaman, kemusnahan dan kerosakan. Mereka sanggup merosakkan serta mencemarkan alam sekitar semata-mata untuk mengejar kekayaan tanpa memikirkan nasib yang akan diterima oleh mereka sendiri. Misalnya kegiatan pembangunan yang berleluasa dan tidak terkawal juga merupakan contoh kerakusan dan ketamakkan manusia dalam mengejar harta dan kekayaan tanpa memikirkan kesan perbuatan tersebut. Sikap seperti inilah harus dibendung dalam jiwa masyarakat terutamanya masyarakat Islam.

Alam sekitar merupakan makhluk Allah SWT yang dicipta sebagai kemudahan dan juga pelengkap kepada manusia dalam meneruskan kehidupan. Diciptakan langit dan bumi sebagai hamparan, bukit-bukau, hutan rimba dan sungai sebagai sumber makanan dan juga pendapatan. Namun, dewasa ini manusia semakin lupa akan nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada mereka. Manusia sanggup merosakkan kehidupan alam semulajadi yang begitu bermakna. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan” (al-Qasas, 28:77).

Berdasarkan ayat ke-77 dari surah al-Qasas tersebut jelas menunjukkan Allah SWT tidak menyukai orang yang melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Begitu juga Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat ke-205 yang bermaksud:

“Dan apabila ia berpaling (dari kamu), ia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakkan padanya, dan merosakkan tanam-tanaman dan binatang ternakan, dan Allah SWT tidak menyukai kebinasaan”(al-Baqarah, 2: 205).

Berdasarkan kedua-dua firman Allah SWT ini, jelas membuktikan manusia memegang amanah yang cukup besar dalam mentadbir dan mengurus serta memelihara alam semujadi daripada sebarang bentuk kemusnahan. Manusia juga perlu dididik serta diterapkan dengan perkara-perkara yang boleh menyedarkan dan memberi kefahaman kepada manusia terhadap kepentingan menjaga dan memelihara sumber alam semujadi ini. Hal ini kerana, alam semulajadi merupakan sumber utama kepada manusia dalam meneruskan kehidupan sebagai hamba Allah SWT yang sentiasa diredhai-Nya. Seharusnya manusia dibentuk agar menjadi khalifah yang bertanggungjawab dan menjaga hubungannya dengan alam semulajadi sebagaimana yang dikehendaki Allah SWT. Oleh itu, manusia dituntut melakukan pemeliharaan terhadap alam sekitar. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya dunia ini cantik, subur menghijau dan sesungguhnya Allah SWT menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi).

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap yang hidup di dunia ini termasuklah tumbuh-tumbuhan memberi manfaat kepada manusia dan saling berkait antara satu sama lain. Manusia adalah pengurus ke atas sumber-sumber tersebut. Oleh itu sikap atau akhlak manusia haruslah dididik agar dapat memakmurkan alam semulajadi.

Dalam membentuk insan yang bertanggungjawab terhadap keseimbangan ekosistem alam semulajadi seharusnya bermula daripada hati. Hati manusia dipenuhi dengan sifat mahmudah dan juga mazmummah. Kedua-dua sifat ini wujud dalam jiwa manusia, namun bagaimana ianya diuruskan itulah yang menjadi persoalan. Hati seharusnya dididik dengan perkara-perkara yang baik seperti bertanggungjawab, tidak mementingkan diri sendiri, berkejasama, saling menghormati sesama makhluk dan sebagainya. Namun, bagaimanakah caranya? Islam telah menggariskan beberapa panduan dalam mendidik jiwa. Antaranya adalah, pertama, mewujudkan rasa syukur ke atas segala nikmat yang Allah berikan kepada hambanya; kedua, melahirkan rasa cinta dan sayang terhadap khazanah alam; ketiga, menerapkan nilai-nilai murni dalam jiwa terhadap alam sekitar.

Mewujudkan Rasa Bersyukur

Mensyukuri nikmat Allah SWT oleh hambanya adalah sesuatu yang dituntut dan diharuskan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), Maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih” (Surah Ibrahim, 14:7).

Dan firman-Nya lagi yang bermaksud,

“Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan. Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa mata air, Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?” (Surah Yaasin, 36: 33-35).

Kedua-dua ayat tersebut jelas menunjukkan manusia seharusnya bersyukur ke atas setiap pemberian dan nikmat yang diterima. Mereka yang mensyukuri nikmat Allah SWT akan mendapat ganjaran di dunia dan juga di akhirat. Dalam mensyukuri nikmat Allah SWT terhadap alam semulajadi, manusia seharusnya melihat kepada kepentingan sumber alam terhadap kehidupan manusia. Misalnya sumber air yang bersih diperlukan untuk membersihkan diri seperti mandi, berwuduk, istinjak dan sebagainya agar dapat menjaga kesempurnaan ibadah. Tanpa air, kehidupan manusia tidak sempurna dan menyukarkan aktiviti harian. Oleh itu, adalah menjadi kewajaran kepada semua manusia menjaga sumber alam supaya tidak dicemari segala kekotoran yang disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri.

Dengan adanya rasa bersyukur dan berterima kasih terhadap sumber alam, pastinya akan melahirkan masyarakat yang sentiasa prihatin terhadap segala keperluan di muka bumi ini. Pastinya akan lahir sikap bertanggungjawab dan bekerjasama sesama manusia untuk menjaga dan memelihara alam sekitar. Jika keadaan ini berlaku, kejadian atau bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir kilat dapat dielakkan. Namun, kita harus ingat setiap yang berlaku adalah ketentuan-Nya.

Melahirkan Rasa Cinta Terhadap Alam Sekitar

Rasa cinta kepada sesuatu adalah lumrah semulajadi manusia iaitu menyayangi dan menghargai sesuatu yang dimiliki bukan hanya terhadap manusia atau harta benda, malah terhadap alam semulajadi. Dalam konteks mencintai alam sekitar, manusia seharusnya menyayangi setiap sumber alam seperti air, udara, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Apabila wujud rasa kasih dan sayang terhadap alam sekitar, pasti akan dipelihara setiap sumber alam tersebut. Misalnya, tidak melakukan penebangan hutan secara haram dan pembakaran hutan secara berleluasa kerana takut mencemarkan udara. Udara yang sihat dan menyegarkan akan melahirkan kehidupan yang aman dan harmoni. Namun, tanpa rasa sayang kepada sumber alam, udara dan air dicemari, pasti mengundang bahaya kepada masyarakat dan menyebabkan pelbagai punca penyakit. Keadaan ini boleh mengancam kehidupan makhluk bumi terutamanya manusia. Ini bersesuaian dengan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

“Demi diriku yang ada di tangan-Nya, kalian tidak akan masuk syurga sehingga kalian beriman dan kalian tidak beriman sehingga kalian saling mencintai. Mahukah jika kutunjukkan kepada kalian jika kalian mengerjakannya, maka kalian saling mencintai? Sebarkan salam di antara kalian” (Soheh Muslim).

Oleh itu, dengan tertanamnya rasa kasih dan sayang terhadap sumber alam, kemusnahan dan kerosakkan dapat dikurangkan. Manusia juga akan hidup dalam keadaan sihat dan tenteram dan tidak mudah terpengaruh dengan kemewahan duniawi. Fenomena ini akan melahirkan kesedaran kepada setiap individu dan juga masyarakat tentang perlunya memelihara dan memulihara alam sekitar. Setiap perkara yang dilakukan terhadap alam sekitar akan menjadi lebih berhemah serta dapat memberi manfaat kepada semua hidupan di air ataupun darat. Keadaan ini pastinya akan mewujudkan satu ekosistem yang seimbang dan saling melengkapi.

Menerapkan Nilai-Nilai Murni dalam Jiwa

Nilai-nilai murni bermaksud sifat-sifat yang baik seperti menghomati sesama makhluk, bekerjasama, tidak mementingkan diri sendiri, merendah diri dan sebagainya. Dalam konteks penerapan nilai murni terhadap alam sekitar, setiap masyarakat perlu bertanggungjawab dan melaksanakan amanah dalam memelihara dan memulihara alam semulajadi. Kesedaran terhadap tanggunggjawab memelihara serta memakmurkan alam semesta perlu diterapkan dalam jiwa setiap manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud:


“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah SWT menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya” (Surah al-A’raaf, 7:56).

Berdasarkan ayat di atas, jelas menunjukkan manusia dilarang melakukan kerosakan terhadap alam semesta, kerana semua yang disediakan adalah untuk kemudahan semua makhluk. Seharusnya kita memakmurkan sumber bumi, bukan merosakkan atau memusnahkannya. Manusia seharusnya sedar betapa pentingnya alam semulajadi kepada manusia. Misalnya udara segar yang disediakan oleh Allah SWT kepada makhluknya supaya dapat hidup dengan harmoni. Keharmonian antara manusia dengan alam semulajadi menjamin kehidupan manusia dan alam yang lebih berkualiti.

Dalam pada itu, manusia juga seharusnya peka atau prihatin terhadap isu-isu yang berkaitan alam sekitar. Keprihatinan terhadap persoalan yang berkaitan alam sekeliling menjadi tanggungjawab setiap insan yang bergelar manusia agar dapat menjamin kesejahteraan hidup. Misalnya, tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan kehidupan alam sekitar seperti tidak membuang sampah ke dalam sungai, tidak melakukan pembakaran secara terbuka dan sebagainya. Sekiranya berlaku sesuatu yang boleh memusnahkan alam semesta setiap insan seharusnya berusaha menangani dan menyelesaikan setiap permasalahan yang berlaku. Misalnya, jerebu yang teruk dan boleh membawa maut serta mengganggu ekosistem alam. Kerajaan dan pihak lain seharusnya bertindak dengan penuh ketegasan kepada mereka yang melakukan pembakaran hutan dan menyediakan alternatif  lain untuk tidak membakar hutan secara terbuka.

Kesimpulannya, memelihara dan memulihara alam sekitar adalah tanggungjawab setiap insan. Dengan wujudnya kesedaran terhadap pentingnya alam semulajadi kepada setiap insan, maka pastinya keharmonian dan keseimbangan ekosistem terpelihara. Oleh itu, setiap insan bermula daripada peringkat kanak-kanak seharusnya dididik dengan rasa tanggung jawab, cinta, kasih dan sayang terhadap alam sekitar agar wujud rasa menghargai betapa pentingnya alam semulajadi dalam kehidupan setiap insan.