TUGASAN BLOG SIW505
Mencari Ilmu
Dengan Redha Allah.
Surita Hartini
Bt Mat Hassan
Calon Sarjana
Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik :
P-SM 0019/12
Peningkatan jumlah bilangan institusi pengajian tinggi
awam (IPTA) mahupun swasta (IPTS), memperlihatkan kesungguhan kerajaan
meningkatkan kualiti pendidikan rakyat Malaysia. Berdasarkan peruntukan
belanjawan Malaysia 2013 bagi sektor pendidikan yang diumumkan pada oktober
2012 yang lalu, juga memperlihatkan bukti ketelusan pihak kerajaan meningkatkan
tahap pendidikan rakyatnya. Untuk itu, pihak kerajaan memperuntukkan sejumlah
belanjawan yang amat besar sebagai bantuan kepada mahasiswa dan juga pihak IPT
itu sendiri bagi merancang aktiviti-aktiviti pendidikan yang berkualiti
terutamanya peringkat ijazah tinggi (Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah).
Selaras dengan
seruan kerajaan, pihak universiti juga telah merancang dan menawarkan pelbagai
program sama ada di peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan juga Ijazah Doktor Falasafah
untuk melahirkan lebih ramai graduan yang berkualiti dari segi akademik,
sahsiah dan juga kebolehpasaran dalam industri. Universiti Sains Malaysia (USM)
contohnya, diiktiraf sebagai APEX Universiti mempunyai visi dan misi yang
bersesuaian dengan kehendak dan hala tuju kerajaan. Begitu juga dengan IPTA dan
IPTS yang lain, walaupun mempunyai visi dan misi dengan pendekatan yang berbeza
namun mempunyai satu matlamat yang sama iaitu melahirkan graduan yang
berkualiti.
Namun begitu,
terdapat segelintir individu yang mengambil kesempatan dengan menggunakan
kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk kepentingan diri sendiri.
Saya tertarik pada satu artikel yang bertajuk “Ekslusif : Graduan Segera” (Berita Harian:2012). Menurut artikel tersebut pada
Julai 2012, rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu isu yang amat menyedihkan terutamanya
golongan intelektual apabila terbongkarnya sindiket “pemalsuan ijazah” atau pun
“graduan segera” yang melibatkan IPTA dan IPTS dalam dan luar Negara. Artikel
ini juga turut mendedahkan bahawa golongan yang terlibat adalah terdiri dari
mereka yang bergelar Dato’, Tan Sri dan ahli-ahli politik yang sangat
berpengaruh dan sememangnya “berduit”.
Menurut
pandangan saudara Akhbar Satar, isu seperti ini sebenarnya sudah lama berlaku, terutamanya
di Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat yang merupakan pelopor kepada sindiket
penipuan dan pemalsuan sijil-sijil kelulusan sebegini, dan telah merebak ke
Negara Singapura, Rusia, India, Indonesia dan Malaysia.
Fenomena ini
memperlihatkan satu lagi kepincangan hidup dalam masyarakat Islam yang terlalu
mudah terpengaruh dengan budaya dan ideologi barat yang jelas terpesong dari
landasan Islam dan terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara untuk mendapatkan
sesuatu dengan cara yang mudah dan dilarang oleh Allah SWT. Golongan ini
meletakkan diri mereka di tahap yang paling rendah kerana tidak meggunakan akal
untuk berfikir, tetapi menurut hawa nafsu sehingga sanggup menipu untuk
mendapatkan keistimewaan di mata masyarakat dengan gelaran yang menampakkan
mereka seorang yang intelektual bertaraf profesional seperti Dr, Prof., Prof.
Madya dan sebagainya berbanding mendapat tempat yang istimewa di akhirat kelak.
Gejala sebegini
harus dibendung, jika dibiarkan berterusan akan merosakkan akidah umat Islam.
Ini kerana, gelaran di pangkal nama seseorang menunjukkan kepakaran seseorang,
namun jika ia disalah gunakan akan memesongkan pemikiran masyarakat,
seterusnya membentuk generasi yang rosak akidahnya, kerana ilmu yang di
sampaikan tidak seperti apa yang sepatutnya.
Dari perspektif
tasawur Islam, isu seperti ini menunjukkan betapa manusia mudah dipengaruhi
dengan perkara-perkara yang memberi kesenangan di dunia tanpa memikirkan
kesannya di akhirat nanti. Ini adalah satu keadaan yang tidak sepatutnya
berlaku, kerana sebagai umat Islam kita seharusnya menitik beratkan kebahagiaan
dan kesenangan di akhirat berbanding duniawi. Namun, begitulah lumrah manusia sentiasa
menginginkan sesuatu dengan mudah dan cepat tanpa memikirkan halal dan haram.
Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan manusia berdoa dengan
(memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon
kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.” (Al-Israa' 17:11)
Ayat ini menjelaskan bahawa sudah menjadi
lumrah bagi manusia sentiasa terburu-buru dalam apa jua yang dilakukan samada
untuk melaksanakan atau mendapatkan hasil daripada sesuatu perkara. Namun
begitu, kita dikurniakan akal untuk berfikir baik atau buruk tentang sesuatu
perkara. Ini bersesuaian dengan isu yang dibincangkan di atas, di mana manusia
sanggup membeli ijazah palsu dengan menghabiskan wang ringgit semata-mata
mengejar pangkat dan gelaran yang sememangnya tidak layak dimiliki dengan
menggunakan cara yang mudah dan cepat tetapi jelas haram di sisi Allah SWT.
Dari segi hukum,
ia adalah haram dan berdosa. Ini kerana terdapatnya unsur-unsur penipuan.
Terdapat banyak bentuk penipuan, tetapi sebagai asas pengharaman menipu, Allah
SWT telah berfirman yang bermaksud :
“hai orang-orang yang beriman janganlah kamu saling
memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan
yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu.” (An-Nisa 4: 29)
Ayat ini
menjelaskan bahawa setiap harta yang diperolehi dari aktiviti penipuan adalah
haram. Islam mengharamkan semua bentuk penipuan, baik dalam masalah jual beli
mahupun pelbagai jenis muamalah. Individu muslim dituntut berlaku jujur dalam
apa jua urusan yang dilakukan sebab keikhlasan dalam beragama, lebih tinggi
nilainya di sisi Allah SWT daripada segala usaha duniawi. Rasulullah s.a.w
pernah bersabda :
“Tidak halal seseorang menjual suatu
perdagangan, melainkan dia harus menjelaskan ciri perdagangannya itu ; dan
tidak halal bagi seseorang yang mengetahuinya, melainkan dia harus
menjelaskannya.” (Riwayat Bukhari)
Selain urusan
jual beli, penipuan juga boleh berlaku dalam bentuk semasa sebagaimana isu yang
dinyatakan disini. Isu ini melibatkan penipuan oleh segelintir individu yang
sanggup menghabiskan wang beribu-ribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan
gelaran (Dr.,Prof) dan mengejar pangkat dengan hanya membeli sekeping kertas
yang mengandungi maklumat palsu berkaitan pengijazahan dan sebagainya.
Jika dinilai
dari aspek epistemologi Islam, golongan ini seolah-olah tidak mencintai ilmu
kerana memandang rendah terhadap institusi keilmuan dan ilmu itu sendiri.
Sehingga sanggup menyamar dan menipu dengan meggunakan ijazah dan gelaran yang
“dibeli” di pangkal nama untuk menggambarkan mereka seorang yang intelektual seperti
Dr.,Prof. dan sebagainya. Sedangkan pada dasarnya mereka tidak sedikitpun
memiliki kelayakan tersebut dan tidak layak untuk berada sebaris dengan
golongan intelektual yang sebenar. Keadaan ini turut memberi kesan buruk terhadap
imej golongan intelektual yang sanggup bersengkang mata mengkaji, menganalisis
dan melahirkan idea-idea baru demi kepentingan masyarakat dan juga Negara.
Kesungguhan mereka dalam menjalankan tanggungjawab bukanlah untuk mendapatkan
gelaran tersebut, tetapi dengan ikhlas mengkaji ilmu-ilmu Allah SWT untuk
kegunaan generasi masa kini dan seterusnya dengan redha Allah SWT. Sesungguhnya
manusia hendaklah berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan bukan dengan
cara yang dilarang oleh Allah SWT.
Golongan ini tidak mencintai ilmu
kerana telah lari dari konsep asas ilmu Islam yang sebenar. Dari segi bahasa,
ilmu berasal daripada perkataan arab yang bermaksud mengetahui sesuatu dengan
sebenar-benarnya. Dari segi istilah pula merujuk kepada suatu kepastian secara
menyeluruh, di mana Menurut Imam Al-Ghazali untuk sampai kepada ilmu yang pasti
mestilah melalui pengalaman secara langsung. Ini jelas menunjukkan mereka yang
membeli ijazah palsu ini tidak layak bergelar ilmuan kerana tidak mencari dan
mempelajari ilmu serta mendalami ilmu tersebut.
Individu muslim wajib mencari
ilmu untuk mendapatkan redha Allah SWT dengan ikhlas mempelajari ilmu-ilmu
Allah SWT melalui sumber-sumber ilmu Islam terutamanya Al-Quran dan Hadis dan
menyebarkanya kepada orang lain. Ini bersesuaian dengan satu hadis yang di
riwayatkan oleh Baihaqi yang bermaksud :
“carilah ilmu walau kenegeri Cina
kerana sesungguhnya menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim.” (Riwayat Baihaqi)
Hadis ini menyatakan dengan jelas
kewajipan seseorang muslim mencari ilmu walau sejauhmana sekalipun dengan niat
untuk mendapat redha Allah SWT.
Kesimpulannya, walau sebesar
manapun pangkat yang kita miliki, walau sebanyak mana pun harta yang kita ada
semuanya adalah milik Allah SWT. Walaupun kita di beri gelaran yang hebat dan
bertaraf professional namun ia hanyalah pinjaman sementara dari Allah SWT untuk
membezakan keilmuan seseorang tetapi bukan untuk mendapatkan keistimewaan di
dunia. Semuanya milik Allah SWT, dan mencari ilmu biarlah dengan niat yang
ikhlas untuk mendapat redha Allah SWT dan bukan untuk kepentingan duniawi.
Rujukan
Azhar Muhammad & Yahaya Jusoh (2012). Falsafah
Ilmu dalam Al-Quran : Ontologi, Epistemologi
dan Aksiologi. Johor Bahru : Penerbit UTM Press.
Dr. H. Muhammad TH.I (1984). Kedudukan Ilmu dalam
Islam. Surabaya, Indonesia : Penerbit Al-Ikhlas.
Dzulkifli Abdul Razak (2012). “Kegiatan Pemalsuan
Ijazah Hapus Roh Ilmu”. Diakses dari file:///C:/Users/User/Desktop/KegiatanpemalsuanijazahhapusrohilmuAlbukharyInternational
University.htm, pada 28 September 2012.
Hanif Idrus (2012).“Intipati Belanjawan 2013”.
Diakses dari http://hanifidrus.blogspot.com/2012/09/intipati-belanjawan-malaysia-2013.html,
pada 1 oktober 2012.
Muhammad bin Shahih Al-Utsaimin (2006). Panduan
Lengkap Menuntut Ilmu. Jakarta : Pustaka Ibnu Katsir.
Sidek Baba (2012). “Gerakan Epistemologi Ilmu”,
Majalah Solusi, Mei, Hlm. 56-58.
Zaharuddin Abd RAhman (2010). “Penipuan Kerap
Dalam Perniagaan, Kerjaya, Universiti & Sekolah : Awasinya.” Diakses
dari http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/518-penipuan--kerjaya-universiti-a-sekolah.html#comment-2368,
pada 28 September 2012.
No comments:
Post a Comment