Showing posts with label Tugasan SIW505. Show all posts
Showing posts with label Tugasan SIW505. Show all posts

Thursday, 15 November 2012

Kesan Sedekah Terhadap Pembangunan Jiwa Insan


 TUGASAN  BLOG SIW505
Kesan Sedekah Terhadap Pembangunan Jiwa Insan
Surita Hartini Bt Mat Hassan
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik : P-SM 0019/12

Pembentukkan jiwa yang murni dalam diri seseorang muslim adalah menjadi satu kewajipan dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT. Jiwa yang murni sentiasa mengingati Allah SWT dan ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara. Kemurnian dan keikhlasan hati ini dapat dibentuk dengan melaksanakan ibadah-ibadah wajib dan sunat sebagaimana yang dituntut dan digalakkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Allah SWT ada berfirman yang bermaksud :

“Dan (ingatlah) Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka memperhamba diri (beribadat) kepada-Ku.” (Al-Zariyat, 51:56)

Ini jelas menunjukkan setiap manusia (Islam) wajib melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap Allah SWT dengan menunaikan ibadah-ibadah wajib seperti solat, puasa, zakat dan sebagainya bagi membuktikan ketaatan terhadap suruhan Allah SWT. Di samping itu juga, individu muslim adalah digalakkan menunaikan ibadah-ibadah sunat bagi menampung kekurangan dalam melakukan ibadah wajib serta dapat menghapuskan dosa-dosa kecil jika dilakukan dengan hati yang ikhlas seperti amalan bersedekah.

Sedekah adalah pemberian semasa hidup secara sukarela dan ikhlas kepada individu atau masyarakat tanpa mengharapkan balasan, semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mendapatkan redha-Nya (Muhammad Muhyiddin : 2009). Sedekah boleh dilakukan dengan memberikan sesuatu dalam bentuk harta atau bukan harta. Sedekah dalam bentuk bukan harta adalah yang paling senang dilakukan tetapi perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas seperti menolong orang melintas jalan, membantu orang yang sedang bergotong royong, membantu ibubapa melakukan kerja rumah, memberikan senyuman, melarang orang dari melakukan kemungkaran dan sebagainya.

Bersedekah dengan harta seperti menyedekahkan wang ringgit, tanah, rumah dan sebagainya kepada golongan miskin, anak yatim, ibu tunggal dan lain-lain golongan yang memerlukan bantuan dan pertolongan dengan hati yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT. Hukum bagi sedekah terbahagi kepada dua iaitu wajib dan sunat (Ghafarullahhuddin Hj Din : 2004).

Sedekah wajib adalah sedekah yang diwajibkan kepada umat Islam berdasarkan syarat-syarat tertentu seperti zakat dan kafarah. Allah SWT mewajibkan kepada mereka yang mempunyai harta yang berlebihan mengeluarkan zakat ke atas harta tersebut mengikut nisab yang telah ditetapkan termasuklah zakat perniagaan, zakat harta, zakat pendapatan dan sebagainya. Kafarah pula merupakan denda yang diwajibkan ke atas golongan tertentu, kerana melakukan kesalahan misalnya mereka yang meninggalkan puasa pada bulan Ramadhan tanpa sebab dikehendaki membayar fidyah berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Amalan sedekah yang disunatkan kepada umat Islam terdiri dari dua kategori iaitu biasa dan sedekah jariah. Amalan kebiasaan, umat Islam bersedekah dengan memberi derma, sumbangan, hadiah dan sebagainya. Manakala bagi sedekah jariah adalah dirujuk kepada amalan wakaf. Menurut istilah syarak, wakaf adalah menahan suatu harta yang boleh dimanfaatkan dengan syarat kekal zatnya, dan membelanjakan kemanfaatannya kepada jalan Allah SWT dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT (Ghafarullahhuddin Hj Din : 2004). Amalan wakaf disebut sebagai sedekah jariah kerana pahala bagi mereka yang mewakafkan harta akan mengalir terus menerus selagi harta yang diwakafkan itu dimanfaatkan.

Selain itu, terdapat beberapa istilah lain yang boleh dikategorikan sebagai sedekah seperti infaq, hibah, nafkah, Qard Al-Hassan dan sebagainya. Walaupun amalan dan pelaksanaan bagi semua bentuk sedekah yang telah disebutkan berbeza, namun tujuannya tetap sama iaitu mendekatkan diri kepada Allah SWT dan ikhlas membantu golongan yang memerlukan.
Jika dilihat dari sudut tasawur Islam, sedekah adalah amalan sunat yang digalakkan kepada umat Islam dan dijanjikan pahala yang berlipat ganda jika dilaksanakan dengan hati yang benar-benar ikhlas bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Di samping itu juga, mereka yang bersedekah akan mendapat lebih banyak manfaat dan sentiasa mendapat perlindungan dari Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan ingatlah, Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( rahmatNya ) lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”. ( Al-Baqarah, 2:261 )
dan
“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan” (Al-Baqarah 2:271)

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud :

“………….sedekah memadam kesilapan seperti air memadam api,……”
(Hadis riwayat Al-Tirmizi dan Ahmad)

Berdasarkan firman Allah SWT dan sabda Nabi SAW di atas, jelas menunjukkan dengan bersedekah dapat menghapuskan dosa iaitu dapat menyucikan diri dari dosa dan sifat-sifat mazmumah. Mereka yang besedekah sentiasa dilindungi oleh Allah SWT dari melakukan segala bentuk kemungkaran dan dijauhkan dari malapetaka serta bencana alam.

Menurut Muhammad Muhyiddin (2009), terdapat satu kisah mengenai seorang ustaz yang suka bersedekah. Dalam perjalanan menuju ke sebuah bandar untuk mengajar agama, kereta ustaz tersebut dilanggar tetapi tidak mengalami sebarang kerosakan, sebaliknya kereta yang melanggarnya tadi mengalami kerosakan yang teruk. Pemandu kereta tersebut kehairanan lalu bertanya kepada ustaz tersebut kenapa keretanya tidak rosak. Ustaz tersebut menjawab mungkin kerana beliau telah bersedekah pada pagi tadi. Ini membuktikan dengan bersedekah terselamat dari bencana. 

Selain itu, mereka yang mencintai amalan bersedekah akan dilimpahkan rezeki seluas-luasnya, disembuhkan dari penyakit dan dipanjangkan umurnya. Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

 “Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.” (Riwayat Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)

Artikel bertajuk “Kekayaan yang berkat” (Amira, 2011), memperkatakan tentang harta yang dimiliki oleh seseorang seharusnya dibelanjakan pada jalan Allah SWT untuk mendapat keberkatan-Nya. Beliau juga turut mencadangkan agar harta-harta tersebut disedekahkan kepada anak-anak yatim, fakir miskin, ibu tunggal dan sebagainya dengan niat yang tulus dan ikhlas untuk memberi dan membantu bukan untuk mendapat nama atau menunjuk-nunjuk (riak / sombong).

Epistemologi Islam bagi amalan bersedekah adalah berasaskan ilmu Tauhid iaitu meng-Esakan Allah SWT dengan melakukan kebaikan (sedekah, tolong menolong) dan meninggalkan segala larangan (riak, sombong) kerana Allah SWT sebagai tanda keimanan dan ketaatan kepada Yang Maha Pencipta. Sedekah juga memperlihatkan ciri-ciri ketakwaan dalam hubungan manusia dengan Allah dan keikhlasan hubungan sesama manusia untuk memberi pertolongan bagi melahirkan rasa kasih dan sayang sesama manusia. Kehebatan bersedekah membolehkan manusia sesama manusia serta makhluk ciptaan-Nya yang lain berkongsi menikmati segala kemewahan dan kesenangan duniawi untuk mencapai kebahagiaan di akhirat kelak. Ia juga mendidik masyarakat Islam sentiasa bersyukur atas segala pemberian-Nya dan sentiasa memikirkan kehidupan orang lain yang lebih memerlukan. Namun begitu, kebergantungan terhadap manusia hanyalah bersifat sementara. Penerima sedekah seharusnya berusaha mencari rezeki dengan tujuan beribadah kepada Allah SWT tanpa mengharapkan belas ihsan orang lain dan percaya semua rezeki datang daripada Allah SWT.

Kesimpulanya, umat Islam adalah digalakkan untuk menginfaqkan atau sedekahkan lebihan atau sebahagian dari harta yang dimiliki ikhlas kerana Allah SWT. Bersedekah juga sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT atas segala pemberian-Nya dan dengan redha Allah SWT sedekah dapat membersihkan harta yang dimiliki serta menyucikan jiwa dari segala dosa. Seterusnya, dengan jiwa yang murni dan suci, akan lahir seorang muslim yang bertakwa dan beriman kepada Allah SWT. Oleh itu, sebagai hamba yang menginginkan kebahagiaan didunia dan akhirat seharusnya menjadikan amalan sedekah adalah satu kewajipan.










Rujukan

Amira (2011), “Kekayaan Yang Berkat”, diakses dari http://www.iluvislam.com/fotografi/lensa-hati/2209-kekayaan-yang-berkat.html, pada 3 November 2012.
Ghafarullahuddin b. Hj Din (2004), “Al-Sadaqah dalam Pembangunan Sosio-Ekonomi Ummah : Kajian Terhadap Konsep, Potensi dan Perlaksanaan”, Tesis, tidak diterbitkan.
Muhammad Muhyidin (2009), “Ajaibnya Sedekah : Semakin Bersedekah Semakin Kaya”, Selangor : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Norhuriyatina Salleh (2006), “Kejujuran Dalam Bersedekah”, diakses dari http://www.yadim.com.my/Sosial/SosialFull.asp?Id=453, pada 5 November 2012.


Thursday, 11 October 2012

Mencari Ilmu Dengan Redha Allah


TUGASAN  BLOG SIW505
Mencari Ilmu Dengan Redha Allah.
Surita Hartini Bt Mat Hassan
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam)
No. Matrik : P-SM 0019/12

Peningkatan  jumlah bilangan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun swasta (IPTS), memperlihatkan kesungguhan kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan rakyat Malaysia. Berdasarkan peruntukan belanjawan Malaysia 2013 bagi sektor pendidikan yang diumumkan pada oktober 2012 yang lalu, juga memperlihatkan bukti ketelusan pihak kerajaan meningkatkan tahap pendidikan rakyatnya. Untuk itu, pihak kerajaan memperuntukkan sejumlah belanjawan yang amat besar sebagai bantuan kepada mahasiswa dan juga pihak IPT itu sendiri bagi merancang aktiviti-aktiviti pendidikan yang berkualiti terutamanya peringkat ijazah tinggi (Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah). 

Selaras dengan seruan kerajaan, pihak universiti juga telah merancang dan menawarkan pelbagai program sama ada di peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan juga Ijazah Doktor Falasafah untuk melahirkan lebih ramai graduan yang berkualiti dari segi akademik, sahsiah dan juga kebolehpasaran dalam industri. Universiti Sains Malaysia (USM) contohnya, diiktiraf sebagai APEX Universiti mempunyai visi dan misi yang bersesuaian dengan kehendak dan hala tuju kerajaan. Begitu juga dengan IPTA dan IPTS yang lain, walaupun mempunyai visi dan misi dengan pendekatan yang berbeza namun mempunyai satu matlamat yang sama iaitu melahirkan graduan yang berkualiti.    

Namun begitu, terdapat segelintir individu yang mengambil kesempatan dengan menggunakan kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk kepentingan diri sendiri. Saya tertarik pada satu artikel yang bertajuk  “Ekslusif : Graduan Segera” (Berita Harian:2012). Menurut artikel tersebut pada Julai 2012, rakyat Malaysia dikejutkan dengan satu isu yang amat menyedihkan terutamanya golongan intelektual apabila terbongkarnya sindiket “pemalsuan ijazah” atau pun “graduan segera” yang melibatkan IPTA dan IPTS dalam dan luar Negara. Artikel ini juga turut mendedahkan bahawa golongan yang terlibat adalah terdiri dari mereka yang bergelar Dato’, Tan Sri dan ahli-ahli politik yang sangat berpengaruh dan sememangnya “berduit”.

Menurut pandangan saudara Akhbar Satar, isu seperti ini sebenarnya sudah lama berlaku, terutamanya di Negara-negara maju seperti Amerika Syarikat yang merupakan pelopor kepada sindiket penipuan dan pemalsuan sijil-sijil kelulusan sebegini, dan telah merebak ke Negara Singapura, Rusia, India, Indonesia dan Malaysia. 

Fenomena ini memperlihatkan satu lagi kepincangan hidup dalam masyarakat Islam yang terlalu mudah terpengaruh dengan budaya dan ideologi barat yang jelas terpesong dari landasan Islam dan terburu-buru dalam melakukan sesuatu perkara untuk mendapatkan sesuatu dengan cara yang mudah dan dilarang oleh Allah SWT. Golongan ini meletakkan diri mereka di tahap yang paling rendah kerana tidak meggunakan akal untuk berfikir, tetapi menurut hawa nafsu sehingga sanggup menipu untuk mendapatkan keistimewaan di mata masyarakat dengan gelaran yang menampakkan mereka seorang yang intelektual bertaraf profesional seperti Dr, Prof., Prof. Madya dan sebagainya berbanding mendapat tempat yang istimewa di akhirat kelak.

Gejala sebegini harus dibendung, jika dibiarkan berterusan akan merosakkan akidah umat Islam. Ini kerana, gelaran di pangkal nama seseorang menunjukkan kepakaran seseorang, namun jika ia disalah gunakan akan memesongkan pemikiran masyarakat, seterusnya membentuk generasi yang rosak akidahnya, kerana ilmu yang di sampaikan tidak seperti apa yang sepatutnya.

Dari perspektif tasawur Islam, isu seperti ini menunjukkan betapa manusia mudah dipengaruhi dengan perkara-perkara yang memberi kesenangan di dunia tanpa memikirkan kesannya di akhirat nanti. Ini adalah satu keadaan yang tidak sepatutnya berlaku, kerana sebagai umat Islam kita seharusnya menitik beratkan kebahagiaan dan kesenangan di akhirat berbanding duniawi. Namun, begitulah lumrah manusia sentiasa menginginkan sesuatu dengan mudah dan cepat tanpa memikirkan halal dan haram. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud :

“Dan manusia berdoa dengan (memohon supaya ia ditimpa) kejahatan sebagaimana ia berdoa dengan memohon kebaikan, dan sememangnya manusia itu (bertabiat) terburu-buru.” (Al-Israa' 17:11)

Ayat ini menjelaskan bahawa sudah menjadi lumrah bagi manusia sentiasa terburu-buru dalam apa jua yang dilakukan samada untuk melaksanakan atau mendapatkan hasil daripada sesuatu perkara. Namun begitu, kita dikurniakan akal untuk berfikir baik atau buruk tentang sesuatu perkara. Ini bersesuaian dengan isu yang dibincangkan di atas, di mana manusia sanggup membeli ijazah palsu dengan menghabiskan wang ringgit semata-mata mengejar pangkat dan gelaran yang sememangnya tidak layak dimiliki dengan menggunakan cara yang mudah dan cepat tetapi jelas haram di sisi Allah SWT.

Dari segi hukum, ia adalah haram dan berdosa. Ini kerana terdapatnya unsur-unsur penipuan. Terdapat banyak bentuk penipuan, tetapi sebagai asas pengharaman menipu, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud :

“hai orang-orang yang beriman janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku dengan suka sama suka di antara kamu.” (An-Nisa 4: 29)

Ayat ini menjelaskan bahawa setiap harta yang diperolehi dari aktiviti penipuan adalah haram. Islam mengharamkan semua bentuk penipuan, baik dalam masalah jual beli mahupun pelbagai jenis muamalah. Individu muslim dituntut berlaku jujur dalam apa jua urusan yang dilakukan sebab keikhlasan dalam beragama, lebih tinggi nilainya di sisi Allah SWT daripada segala usaha duniawi. Rasulullah s.a.w pernah bersabda :

“Tidak halal seseorang menjual suatu perdagangan, melainkan dia harus menjelaskan ciri perdagangannya itu ; dan tidak halal bagi seseorang yang mengetahuinya, melainkan dia harus menjelaskannya.” (Riwayat Bukhari)

Selain urusan jual beli, penipuan juga boleh berlaku dalam bentuk semasa sebagaimana isu yang dinyatakan disini. Isu ini melibatkan penipuan oleh segelintir individu yang sanggup menghabiskan wang beribu-ribu ringgit semata-mata untuk mendapatkan gelaran (Dr.,Prof) dan mengejar pangkat dengan hanya membeli sekeping kertas yang mengandungi maklumat palsu berkaitan pengijazahan dan sebagainya.

Jika dinilai dari aspek epistemologi Islam, golongan ini seolah-olah tidak mencintai ilmu kerana memandang rendah terhadap institusi keilmuan dan ilmu itu sendiri. Sehingga sanggup menyamar dan menipu dengan meggunakan ijazah dan gelaran yang “dibeli” di pangkal nama untuk menggambarkan mereka seorang yang intelektual seperti Dr.,Prof. dan sebagainya. Sedangkan pada dasarnya mereka tidak sedikitpun memiliki kelayakan tersebut dan tidak layak untuk berada sebaris dengan golongan intelektual yang sebenar. Keadaan ini turut memberi kesan buruk terhadap imej golongan intelektual yang sanggup bersengkang mata mengkaji, menganalisis dan melahirkan idea-idea baru demi kepentingan masyarakat dan juga Negara. Kesungguhan mereka dalam menjalankan tanggungjawab bukanlah untuk mendapatkan gelaran tersebut, tetapi dengan ikhlas mengkaji ilmu-ilmu Allah SWT untuk kegunaan generasi masa kini dan seterusnya dengan redha Allah SWT. Sesungguhnya manusia hendaklah berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan bukan dengan cara yang dilarang oleh Allah SWT.

Golongan ini tidak mencintai ilmu kerana telah lari dari konsep asas ilmu Islam yang sebenar. Dari segi bahasa, ilmu berasal daripada perkataan arab yang bermaksud mengetahui sesuatu dengan sebenar-benarnya. Dari segi istilah pula merujuk kepada suatu kepastian secara menyeluruh, di mana Menurut Imam Al-Ghazali untuk sampai kepada ilmu yang pasti mestilah melalui pengalaman secara langsung. Ini jelas menunjukkan mereka yang membeli ijazah palsu ini tidak layak bergelar ilmuan kerana tidak mencari dan mempelajari ilmu serta mendalami ilmu tersebut.
Individu muslim wajib mencari ilmu untuk mendapatkan redha Allah SWT dengan ikhlas mempelajari ilmu-ilmu Allah SWT melalui sumber-sumber ilmu Islam terutamanya Al-Quran dan Hadis dan menyebarkanya kepada orang lain. Ini bersesuaian dengan satu hadis yang di riwayatkan oleh Baihaqi yang bermaksud :
“carilah ilmu walau kenegeri Cina kerana sesungguhnya menuntut ilmu itu wajib bagi setiap muslim.” (Riwayat Baihaqi)
Hadis ini menyatakan dengan jelas kewajipan seseorang muslim mencari ilmu walau sejauhmana sekalipun dengan niat untuk mendapat redha Allah SWT.
Kesimpulannya, walau sebesar manapun pangkat yang kita miliki, walau sebanyak mana pun harta yang kita ada semuanya adalah milik Allah SWT. Walaupun kita di beri gelaran yang hebat dan bertaraf professional namun ia hanyalah pinjaman sementara dari Allah SWT untuk membezakan keilmuan seseorang tetapi bukan untuk mendapatkan keistimewaan di dunia. Semuanya milik Allah SWT, dan mencari ilmu biarlah dengan niat yang ikhlas untuk mendapat redha Allah SWT dan bukan untuk kepentingan duniawi.




Rujukan
Azhar Muhammad & Yahaya Jusoh (2012). Falsafah Ilmu dalam Al-Quran : Ontologi,    Epistemologi dan Aksiologi. Johor Bahru : Penerbit UTM Press.
Dr. H. Muhammad TH.I (1984). Kedudukan Ilmu dalam Islam. Surabaya, Indonesia : Penerbit Al-Ikhlas.
Dzulkifli Abdul Razak (2012). “Kegiatan Pemalsuan Ijazah Hapus Roh Ilmu”. Diakses dari file:///C:/Users/User/Desktop/KegiatanpemalsuanijazahhapusrohilmuAlbukharyInternational University.htm, pada 28 September 2012.
Hanif Idrus (2012).“Intipati Belanjawan 2013”. Diakses dari http://hanifidrus.blogspot.com/2012/09/intipati-belanjawan-malaysia-2013.html, pada 1 oktober 2012.
Muhammad bin Shahih Al-Utsaimin (2006). Panduan Lengkap Menuntut Ilmu. Jakarta : Pustaka Ibnu Katsir.
Sidek Baba (2012). “Gerakan Epistemologi Ilmu”, Majalah Solusi, Mei, Hlm. 56-58.
Zaharuddin Abd RAhman (2010). “Penipuan Kerap Dalam Perniagaan, Kerjaya, Universiti & Sekolah : Awasinya.” Diakses dari http://zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/518-penipuan--kerjaya-universiti-a-sekolah.html#comment-2368, pada 28 September 2012.